1,008 Jawatan Baru JKR Diluluskan

Menteri Pembangunan Infrastruktur , Datuk Peter Anthony (tengah) menerima cenderahati daripada Pengarah Kerja Raya Sabah Richard Jomili Kinsil pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya Sabah 2018 di Dewan Serbaguna, Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Penambahan 333 jawatan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta 675 jawatan dalam Kumpulan Pelaksana Satu melalui penstrukturan semula Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diluluskan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata cadangan penambahan jawatan di jabatan tersebut diluluskan termasuklah bagi mengisi 570 jawatan kosong yang kritikal pada masa kini.

Tambahnya pertambahan anggota perkhidmatan awam d JKR amat diperlukan dalam urusan pentadbiran, sokongan teknologi serta kepakaran teknikal dalam bidang tertentu.

“JKR adalah sebuah jabatan utama yang bertanggungjawab dalam perancangan, pemeriksaan, reka bentuk, pelaksanaan dan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur selain melaksanakan projek-projek lebuhraya, jejambat, jalanraya, bangunan, jambatan dan cerun.

“Selaras dengan pertambahan tanggungjawab tersebut, keupayaan jabatan dan kecekapan organisasi perlulah ditingkatkan demi menjamin kelancaran dalam penyampaian perkhidmatan atau ‘service delivery’ kepada rakyat,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan JKR Sabab 2018 di sini hari ini.

Katanya JKR Sabah juga telah mengambilalih pengurusan aset aset awam seperti jalan-jalan majlis dan sistem pembetungan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) secara berperingkat.

Dalam pada itu, jelasnya JKR Sabah berdepan dengan beberapa cabaran setelah pengambilalihan aset pembetungan tersebut.

“Antaranya, keperluan kakitangan baru serta penyerapan kakitangan berpengalaman daripada PBT selain daripada cabaran pengenalpastian aset bermasalah ataupun usang serta keperluan bagi membuat permohonan peruntukan bagi menampung pertambahan pengurusan skop tersebut.

“Justeru, untuk memperkukuhkan perancangan pembangunan dan pengurusan kemudahan pembetungan, kerajaan negeri sedang dalam proses untuk menubuhkan sebuah entiti tunggal di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur iaitu Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Negeri Sabah.

“Dengan penubuhan jabatan ini, tadbir urus dan isu-isu berkaitan pembetungan akan lebih berfokus, komprehensif dan holistik,” jelasnya.

Sementara itu, Peter berkata pihaknya melalui Jabatan Air Negeri Sabah telah bersetuju untuk menamatkan 58 kontrak swasta yang diberikan kepada syarikat yang mengendali lebih kurang 58 loji air di seluruh negeri.

Jelasnya dengan penamatan kontrak tersebut mampu membuka peluang pekeraan dalam sektor berkenaan.

“Saya percaya, kakitangan dalam Jabatan Air Negeri Sabah sememangnya tidak mencukupi.

“Tapi dalam masa terdekat kita akan memberikan tawaran atau peluang pekerjaan yang mana akan lebih ramai yang memohon dan diserapkan di Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Air Negeri Sabah,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *