Bapa tidak pulang lepas pandu Grab

Berita kehilangan Ahmad tular di Facebook dan Whatsapp

“BAPA saya tidak pernah matikan telefon bimbit dan dia akan maklum jika tidak pulang ke rumah,” kata Norshalizza Ahmad, 24, anak kepada pemandu Grab yang tidak dapat dikesan selepas keluar rumah pagi semalam.

Ahmad @ Nor Ahmad Nasib, 54, disedari hilang oleh ahli keluarganya selepas tidak pulang lebih 24 jam ke rumah mereka di Taman Pengalat, Papar.

Norshalizza berkata, dia dimaklumkan oleh adiknya bahawa bapa mereka tidak pulang sejak semalam sebaik keluar bekerja sebagai pemandu Grab di Kota Kinabalu pada 5 pagi.

“Dia keluar dari rumah dengan berseluar jean biru, berselipar hitam bertali ungu serta bertopi merah. Bapa saya memandu kereta Proton Saga FLX berwarna merah untuk Grab.

“Kami cuba hubungi telefon bimbitnya, namun ia dimatikan. Hasil pemeriksaan daripada pihak Grab, kali terakhir dia mendapat permintaan penumpang pada 2.38 petang semalam di kawasan Kampung Nosoob Hungab, Penampang, manakala kali terakhir dia menurunkan penumpang di Lido, Kepayan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Norshalizza berkata, mereka memuat naik kehilangan bapanya di Facebook dan melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, dia sudah menghubungi rakan serta ahli keluarga, namun sehingga kini tiada berita mengenai bapanya.

Difahamkan, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

“Bapa saya seorang yang sihat, jadi saya harap tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadapnya.

“Orang ramai yang menemuinya diharap dapat berhubung dengan saya di talian 011-25279967,” katanya. – Harian Metro

409