Graduan psikologi UMS terima skrol ijazah dari Ketua Menteri di hospital

KOTA KINABALU, 30 Nov – Walaupun Fatimah Faisal tidak dapat naik pentas untuk menerima skrol ijazahnya sempena masjlis konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini kerana lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, namun beliau tetap bertuah menerima skrol ijazahnya yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di hospital hari ini.

Mohd Shafie yang juga Pro Canselor UMS, diiringi Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin tiba di Hospital Queen Elizabeth 1 untuk majlis penyerahan skrol itu kira-kira jam 6 petang.

Bercakap kepada pemberita kemudian Mohd Shafie berharap kehadirannya untuk menyerahkan skrol ijazah kepada Fatimah, 23, akan memberi sedikit kegembiraan kepada  graduan psikologi itu.

“Sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan kepada dia (Fatimah), jadi kami sampaikan ijazah itu di sini (Hospital Queen Elizabeth 1),” katanya.

Menurut Mohd Shafie pihak UMS juga sedang mengatur untuk memberi sedikit sebanyak bantuan kepada Fatimah yang berasal dari Kampung Senallang, Semporna untuk meringankan beban beliau dan keluarganya.

Fatimah yang bercita-cita menjadi seorang guru cedera parah apabila kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bulatan Likas pada 1 Nov lalu.

Fatimah sepatutnya menerima ijazahnya pada majlis konvokesyen UMS pada 26 Nov lalu namun disebabkan kemalangan yang menimpanya semasa balik dari bekerja, hasratnya  itu tidak kesampaian.

Fatimah pada masa ini lumpuh satu badan, kecuali tangan kanannya dan masih tidak dapat bercakap.

– BERNAMA

251