Bayaran balik hasil Sabah: Kerajaan pusat boleh bayar secara berperingkat – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 30 Nov – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap penangguhan pembayaran balik 40 peratus kutipan hasil dari negeri Sabah oleh kerajaan persekutuan cuma bersifat sementara.

Katanya bayaran balik 40 peratus hasil kepada Sabah itu adalah hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) namun atas faktor kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan persekutuan itu, bayaran balik itu boleh dilakukan secara berperingkat.

“Kita maklum tentang perkara ini. Tapi kitapun sedar dalam keadaan kekangan kewangan di peringkat negara kita, kita juga kena faham. Tetapi dalam keadaan begitu, kita (negeri Sabah) juga berhadapan (tanggungjawab) membayar hutang.

“Jadi saya berharap, kalaupun tidak dapat ditunaikan keseluruhannya (40 peratus), tetapi sedikit sebanyak (dibayar) secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan bayaran dividen Perbadanan Pinjaman Sabah dan Alliance Bank kepada kerajaan negeri Sabah hari ini.

Pada majlis itu, Perbadanan Pinjaman Sabah dan Alliance Bank masing-masing menyerahkan dividen kepada kerajaan negeri sebanyak RM7 juta dan RM844,447. Alliance Bank juga menyerahkan zakat perniagaan kepada Majlis Ugama Islam Sabah sebanyak RM100,041.77.

Mohd Shafie berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini yang mengatakan kerajaan persekutuan terpaksa menangguhkan pembayaran balik 40 peratus hasil dari Sabah kepada negeri berkenaan disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan pusat.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata dalam situasi kekangan kewangan yang dihadapi negara sekarang Sabah perlu bersifat realistik dan tidak mahu terlalu menekan atau mendesak sehingga meletakkan negara dalam keadaan sukar.

“Kita selalu menggunakan pendekatan berhemah dalam pengurusan, bukan sahaja dalam aspek kewangan, tetapi juga sebagai sebuah negara kita bersikap kekeluargaan. Dalam membentuk Malaysiapun kita lakukan perundingan. Jadi perundingan ini perlu dilakukan. Jangan pula nanti ada masalah. Kalau sakit di pusat, kita pun jadi teruk di sini,” katanya.

Justeru Mohd Shafie menegaskan bahawa kerjasama dengan kerajaan pusat dan negeri perlu terus dieratkan seterusnya menterjemahkan keeratan kerjasama itu dengan bersama-sama membangunkan Sabah dan mensejahterakan rakyatnya.

Mengenai pendirian kerajaan negeri Sarawak mengenai beberapa perkara yang tidak boleh dirunding di bawah MA63 termasuk hal imigresen, Mohd Shafie berkata bagi Sabah sudah ada platform di peringkat persekutuan yang ditubuh menyuarakan perkara yang perlu disuarakan Sabah berhubung MA63.

“Kita sudah ada perbincangan di peringkat pusat. Tarikh sudah ditetapkan untuk mesyuarat yang akan di panggil oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Baik kita bincang di dalam (jawatankuasa itu) daripada membincangkannya di luar. Itulah jalan terbaik melakukannya,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *