2 tangkap ikan guna bahan letupan ditahan

 

Dua lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika Ops Pensura kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Tobo-Tobo, di Semporna. – Foto ihsan PPM

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Tobo-Tobo, dekat sini, petang semalam.

Mereka ditahan sepasukan anggota PPM Semporna ketika menjalankan Ops Pensura di kawasan itu kira-kira jam 3 petang, susulan maklumat risikan oleh Unit Risikan Marin (URM).

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata ketika ditahan, suspek berumur 18 dan 50 tahun yang menggunakan sebuah bot pam dipercayai menjalankan aktiviti mengebom ikan.

Perahu yang dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) ketika Ops Pensura daripada dua lelaki yang ditangkap kerana disyaki menggunakan bahan letupan di perairan Tobo-Tobo, Semporna. – Foto ihsan PPM

Katanya, kedua-dua suspek juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan lanjut dalam bot pam menemui satu batang kipas (propeller), peralatan menyelam dan satu jerikin minyak petrol disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, turut ditemui 20 kilogram ikan pelbagai jenis disyaki hasil daripada aktiviti berkenaan.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan termasuk bot bersama satu unit enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM4,300.

“Rampasan dan tangkapan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya. – Berita Harian

369