Ainal Fatah Diperintah Bayar Gantirugi RM300,000 Cemar Nama Mohd Shafie Semasa PRU14

KOTA KINABALU:  Peguam, Datuk Ainal Fatah diperintah oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar gantirugi sebanyak RM300,000 dan kos RM20,000 kerana telah mencemar nama baik Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum dan semasa Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Celestina Stuel Galid turut menetapkan nilai faedah tahunan sebanyak lima peratus sehingga gantirugi dibayar sepenuhnya oleh Ainal.

Celestina membuat perintah tersebut pada Rabu selepas Mohd Shafie berjaya dalam samannya yang difailkan terhadap Ainal pada 24 April lalu dan diputuskan pada 26 Jun lalu.

Mohd Shafie yang kini adalah Ketua Menteri Sabah mendapat kemenangan secara percuma apabila Ainal gagal memfailkan pembelaan.

Dalam writ samannya, Mohd Shafie berkata tindakan Ainal yang telah memohon semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mahkamah melarang Mohd Shafie daripada bertanding di Semporna dan DUN Senallang dalam pilihanraya baru-baru lalu adalah dengan niat hanya untuk memburukkan reputasi beliau.

Ainal telah meminta mahkamah mendengar permohonan semakan kehakiman tersebut pada 8 Mei iaitu sehari sebelum PRU14.

Permohonan semakan kehakiman tersebut telah ditolak namun Ainal menggunakan isu sebagai bahan kempen dan menyebarkanya kepada media massa untuk disiarkan, menurut pihak plaintif.

Menurut peguam Mohd Shafie, Senator Datuk Douglas Lind, pihak plaintif antara lain memohon gantirugi sebanyak RM1.3 juta.

Ainal yang tidak hadir di Mahkamah diwakili oleh Nurul Rafeeqa Abdul Mutolib.-SabahNewsToday.

224