Tragedi mandi laut

KOTA BELUD : Mayat lelaki yang lemas selepas dibawa arus deras ketika mandi di tepi pantai, Kampung Sarang, Kota Belud, petang semalam, ditemui hari ini.

Mangsa, Molinus Marasin, 27, ditemui kira-kira 8 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kota Belud, selepas dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan sekerjanya, 4 petang semalam.

Ketua BBP Daerah Kota Belud, Rozlan Osman berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terapung, kira-kira 150 meter dari tempatnya dilaporkan hilang.

“Pasukan bomba berenang ke lokasi berkenaan dan berjaya membawa mangsa ke darat pada 8.02 pagi. Mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Kota Belud dan operasi SAR ditamatkan 8.07 pagi tadi,” katanya di Kota Belud, hari ini.

Rozlan berkata, sejurus menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.28 petang, sepasukan anggota dikerah ke lokasi dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) tiba di lokasi 5.30 petang semalam.

“Bagaimanapun terpaksa menangguhkan operasi berikutan keadaan air laut yang bergelora sebelum operasi SAR disambung pada 5.05 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan sekerja mangsa yang hanya dikenali sebagai Anil, 30, berkata, sebelum kejadian dia bersama mangsa dan rakan lain yang bekerja sebagai pengubahsuai tanaman bunga sedang mandi selepas mengambil pasir di tepi pantai berkenaan.

“Tidak lama kemudian, kami menyedari rakan hilang dan mencarinya tetapi gagal sebelum menghubungi pihak bomba. Kami tidak menyangka perkara sebegini berlaku. Walaupun saya baharu mengenalinya sejak tiga bulan lalu, tetapi dia rakan yang baik,” katanya. – Harian Metro

Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) temui mayat, Molinus Marasin, 27, ditepi pantai Kampung Sarang, Kota Belud. Foto Recquealmi Raimi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *