Tak sempat seludup komponen kereta

Bot laju membawa komponen kenderaan disyaki dicuri yang ditahan di perairan Inner Bouy, Sandakan semalam. foto ihsan PPM

SANDAKAN : Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan dua lelaki warga asing menyeludup keluar pelbagai komponen kenderaan dengan bot laju di perairan Sandakan, awal pagi semalam.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 35 tahun termasuk juragan dikesan menaiki bot laju dalam keadaan mencurigakan serta sarat dengan muatan oleh anggota bot ronda PPM di perairan Inner Bouy.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika ditemui bot laju terbabit menghala ke arah Pulau Taganak di Filipina, lalu dikejar oleh bot ronda PPM selepas mereka memecut untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, bot laju berkenaan yang menggunakan dua enjin jenis 40 kuasa kuda (hp) berjaya ditahan.

“Pemeriksaan di dalam ruang bot laju berkenaan menemui seorang penumpang lelaki berumur 36 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan menemui beberapa komponen kenderaan disyaki dicuri iaitu satu unit enjin Toyota Carina dan ‘gearbox’, dua bangku kereta dan tayar, satu unit radio serta enam guni berisi komponen kereta,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, ketiga-tiga lelaki dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan RM45,900 dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 manakala komponen kenderaan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya. – Harian Metro

Bot laju membawa komponen kenderaan disyaki dicuri yang ditahan di perairan Inner Bouy, Sandakan semalam. foto ihsan PPM
Bot laju membawa komponen kenderaan disyaki dicuri yang ditahan di perairan Inner Bouy, Sandakan semalam. foto ihsan PPM
Bot laju membawa komponen kenderaan disyaki dicuri yang ditahan di perairan Inner Bouy, Sandakan semalam. foto ihsan PPM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *