Larangan Sabah terhadap eksport balak diteruskan sehingga dasar yang konklusif dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Larangan dikenakan Sabah terhadap eksport kayu balak akan diteruskan sehingga dasar yang konklusif dilaksanakan kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata jika terdapat keperluan untuk menyambung semula eksport kayu balak ia akan dilaksanakan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jika terdapat eksport kayu balak, jumlahnya tidak seharusnya besar kerana kita mahu menggunakannya untuk (kegiatan) hiliran dan ini akan dibatasi dengan syarikat khas seperi Yasayan Sabah dan bukannya pihak lain.

“GLC yang akan lakukan tugas ini dan bukan lagi pihak swasta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi khas berkenaan peluang pelaburan di Sabah, di sini, hari ini.

Menurut Shafie, pada masa ini, kerajaan negeri sedang memperincikan perkara berkenaan berikutan larangan sementara eksport kayu balak bagi memastikan terdapat bekalan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik.

“Kita perlu melihat semula apa yang berlaku. Apabila saya membuat siasatan, saya dapati beberapa perjanjian berkaitan sehingga ke satu tahap, sebagai contoh, untuk tempoh masa tertentu, Unit Pengurusan Hutan (FMU) bersama beberapa orang, pemain industri berada di sana bagi membolehkan mereka mengeksport kayu balak

“Tetapi saya sudah mengarahkan (FMU) untuk melihatnya dengan lebih jelas sama ada kita boleh menghalang mereka daripada berbuat demikian,” katanya.

Shafie berkata, usaha mengubah industri kayu di Sabah daripada kegiatan huluan ke hiliran adalah penting untuk meningkatkannya ke tahap lebih tinggi.

Pada 2017, kegiatan huluan menjana perolehan RM1.68 bilion melalui ekport kayu balak, kayu bergergaji dan papan lapis, sementara pulangan ekonomi di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM15.35 bilion melalui kegiatan hiliran, kebanyakannya pengeluaran perabot.

Justeru, beliau mengalu-alukan pemain antarabangsa untuk memanfaatkan sumber semula jadi Sabah yang banyak dengan mendirikan kilang kegiatan hiliran mereka di negeri ini.

“Kami mengalu-alukan mereka mengambil kesempatan dari Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu dan Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIB) yang memiliki infrastruktur tersedia.

“Banyak pemain industri memberi tumpuan kepada industri papan lapis dan venir. Kami mahu mereka pergi lebih jauh dengan kegiatan hiliran seperti pengeluaran perabot,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata pelabur yang berminat boleh mengambil kesempatan daripada insentif menarik yang ditawarkan kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) seperti Insentif Kawasan Kurang Membangun dalam bentuk pengecualian cukai.

“Saya yakin bahawa kita boleh merapatkan jurang perolehan eksport antara Sabah dan Semenanjung memandangkan produk tambah nilai kayu boleh mendapat harga lebih tinggi berbanding jualan produk huluan.

“Adalah penting bahawa kedua-dua pemain industri kayu huluan dan hiliran di Semenanjung dan Sabah meneroka potensi ekonomi yang besar ini,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga September 2018, eksport kayu dan produk berasaskan kayu Malaysia susut 5.1 peratus kepada RM16.33 bilion berbanding tempoh sama pada 2017.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *