Polis pantau, ambil tindakan pada kutu sampah di Semporna

Tijmen bersama sekumpulan kanak-kanak mengutip timbunan sampah di Semporna.

SEMPORNA, 27 Nov – Polis siap sedia memantau dan mengambil tindakan terhadap individu  yang didapati membuang sampah di daerah ini, kata Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Ak Umbuas.

Katanya, usaha agresif itu dilakukan bagi membantu Majlis Daerah Semporna dalam menguatkuasakan  undang-undang sekali gus menangani masalah sampah di sini.

“Kita ada Op Payung dan bagi polis operasi ini adalah tugas dua dalam satu iaitu selain menjaga  keselamatan dan mencegah jenayah kita turut membantu MDS kempen dan advokasi untuk menjaga kebersihan,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong IPD Semporna sempena kempen Semporna Bersih dan Indah di sini hari ini.

Kempen dengan kerjasama Pejabat Daerah Semporna itu turut disertai 115 sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa – ASEAN (YSS-ASEAN) terdiri daripada siswa dan siswi universiti awam, swasta serta kolej komuniti di samping penglibatan pelajar luar negara iaitu Laos dan Vietnam.

Sukarelawan YSS berkampung selama dua minggu di Semporna sejak 19 Nov lepas bagi melaksanakan  pelbagai khidmat masyarakat di daerah ini.

Sementara itu, Peter berkata Op Payung itu akan dilaksanakan di tiga lokasi di Semporna dan turut melibatkan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Kesihatan, Imigresen serta Kastam.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *