Indeks jenayah di Sandakan catat 586 kes

Antara yang ditahan untuk dibawa ke IPD Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi semasa Op Cegah Jenayah dilakukan sekitar Kota Kinabalu. Gambar Ehsan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu

SANDAKAN, 27 Nov – Indeks jenayah di daerah ini mencatatkan 586 kes dari Januari hingga  25 Nov lepas, meningkat satu kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata statistik penyelesaian kes jenayah adalah sebanyak 60.63 peratus dari Januari hingga 25 November lepas.

Beliau yakin polis di daerah ini mampu untuk meningkatkan lagi peratus penyelesaian kes sehingga  penghujung tahun ini.

“Secara keseluruhannya hasil komitmen serta usaha yang tidak pernah putus daripada warga polis  Sandakan, saya yakin prestasi kita sehingga 25 Nov lepas masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulan November Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, enam wartawan antara 21 penerima surat penghargaan daripada Mohd Azhar, 15 pegawai rendah polis menerima kenaikan pangkat daripada Lans Koperal kepada Koperal dan tiga pegawai  kanan serta pegawai rendah polis menerima pengesahan jawatan.

Dalam pada itu, Mohd Azhar mengingatkan pegawai dan anggota polis di daerah ini agar mengutamakan  amalan integriti yang bukan sahaja mampu untuk membentuk tingkah laku yang baik dan positif, malahan  mampu menjadi individu lebih efektif serta produktif.

Katanya ia sejajar dengan komitmen pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak berkompromi dalam isu integriti melibatkan pasukan dan menyokong penuh penguatkuasaan yang drastik.

Menurutnya ia dilaksanakan oleh setiap kontinjen, Briged dan formasi sebagai satu daripada inisiatif untuk mencegah serta menutup ruang yang membuka peluang kepada penyelewengan, rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan warga PDRM.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *