Bergaduh dengan bini rupanya…

Lelaki merempuh sekumpulan murid yang melintas jalan. FOTO SCM

BEIJING: Pemandu kereta merempuh sekumpulan murid sekolah menyebabkan lima terbunuh dan 19 lagi cedera, memilih sasaran secara rawak selepas bergaduh dengan isterinya, lapor media China hari ini.

Penganggur berusia 29 tahun itu membayangkan membunuh diri ‘disebabkan pergaduhan’ dengan isterinya sebelum memandu kereta merempuh kanak-kanak berkenaan semalam, menurut agensi berita Xinhua, memetik kenyataan polis.

Lelaki itu ‘memilih mangsa secara rawak’ ketika memandu di bandar raya Huludao, di timur laut China.

Dia membuat pusingan tiba-tiba ke arah jalan bertentangan untuk merempuh kanak-kanak itu, yang melintas jalan sejurus selepas tengah hari, menurut laporan.

Polis di Jianchang meletakkan penyerang itu dalam tahanan jenayah kerana membahayakan keselamatan awam.

Video tidak dapat disahkan yang tular di media sosial menunjukkan kereta terbabas ke jalan bertentangan arah dan merempuh kanak-kanak, dengan impak kemalangan menyebabkan mayat berselerak di atas jalan.

Satu lagi rakaman mengerikan menunjukkan sekurang-kurangnya dua murid terbaring tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di atas jalan.

Semua lima yang terbunuh dalam kejadian itu ialah kanak-kanak, menurut laporan stesen penyiar CCTV di akaun media sosial Weibo semalam.

Sementara 16 daripada 19 yang cedera juga murid, dua guru dan orang awam. Tiga masih dalam keadaan kritikal. – AFP

179