BH raih dua anugerah utama Kinabalu Shell Press Awards

PENGURUS Besar Sabah Shell Petroleum, Prithipal Singh menyampaikan Anugerah Laporan Berita Bahasa Inggeris kepada wartawan NSTP, Avila Geraldine sempena Kinabalu Shell Press Awards (KSPA) 2018 di Kota Kinabalu. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: BH menggondol empat anugerah termasuk dua anugerah utama sempena Kinabalu Shell Press Awards 2018 di sini, malam ini.

Anugerah utama dimenangi Mohd Izham Unnip Abdullah dan Poliana Ronnie Sidom masing-masing bagi kategori Berita Bahasa Melayu serta Berita Hiburan, Budaya dan Sastera.

Mohd Izham menang menerusi laporan bersiri isu kanak-kanak jalanan, manakala Poliana melalui laporan bertajuk Etnik Dusun Minokok Dilarang Kahwin Sesama Suku.

Mohd Izham turut meraih merit bagi Anugerah Berita Sukan Bahasa Melayu.

BH turut meraih merit bagi Anugerah Berita Kategori Stringer. Kategori itu dimenangi wartawan sambilan Harian Metro (HM), Hazmin Hasyah Abdul Rahman.

PENGERUSI Shell Malaysia, Datuk Iain Lo menyampaikan Anugerah Kewartawanan Sukan Bahasa Inggeris kepada wartawan NSTP, Olivia Miwil sempena Kinabalu Shell Press Awards (KSPA) 2018 di Kota Kinabalu. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

Wartawan HM, Junaidi Ladjana menang tempat pertama Anugerah Kewartawanan Bahasa Melayu (Rencana) selain merit Berita Bahasa Melayu, manakala seorang lagi wartawan HM, Norasikin Daineh meraih merit bagi kategori Alam Sekitar.

Sementara itu, New Straits Times (NST) meraih dua anugerah utama iaitu menerusi Avila Geraldine dan Olivia Miwil bagi kategori Berita Bahasa Inggeris.

Olivia turut menang Anugerah Berita Sukan (Bahasa Inggeris) manakala Avila meraih merit kategori Alam Sekitar.

Jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Malai Rosmah Tuah meraih tempat pertama kategori Alam Sekitar serta merit bagi kategori Foto Berita Terbaik dan Anugerah Foto Terbaik.

Bekas jurugambar sambilan NSTP, Ruslan Lusi menang Anugerah Foto Stringer, manakala Mohd Adam Arinin dan Recquael Raimi meraih merit.

Hadiah utama disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Yang turut hadir Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Muguntan Vanar. – Berita Harian

PENGURUS Besar Sabah Shell Petroleum, Prithipal Singh menyampaikan Anugerah Berita Bahasa Melayu kepada wartawan NSTP, Mohd Izham Unnip Abdullah sempena Kinabalu Shell Press Awards (KSPA) 2018 di Kota Kinabalu. – NSTP/Malai Rosmah Tuah
PEMENANG anugerah daripada akhbar terbitan NSTP bergambar sempena Kinabalu Shell Press Awards (KSPA) 2018 di Kota Kinabalu. – NSTP/Khairull Azry Bidin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *