Tiga sekeluarga rentung dalam kebakaran di Menumbok

Bomba dan polis melakukan pemeriksaan di lokasi. Foto Ihsan Bomba

KOTA KINABALU, 25 Nov –  Tiga sekeluarga ditemukan rentung selepas rumah jenis tidak kekal didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Junkon, Menumbok, dekat Kuala Penyu, awal pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan berkata  mangsa yang rentung ialah Yamal Suhud, 80, isterinya Saadah Mumin, 70, serta anak lelaki mereka Ismail  Yamal, 45.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 pagi itu, pasukan bomba menjumpai dua mangsa di bahagian depan pintu utama dan seorang lagi ditemukan di dalam sebuah bilik di rumah terbabit.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 43 kilometer sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.20 pagi.

“Pasukan Bomba bertindak membuat pemadaman dan seterusnya memeriksa kawasan kebakaran bagi memastikan tiada keberbahayaan lain,” menurut pusat gerakan operasi itu.

Pasukan bomba menemukan mayat pertama pada 2.24 pagi disusuli penemuan mayat kedua pada 2.34 pagi dan mayat terakhir pada 4.30 pagi.

Operasi tamat pada 6.13 pagi.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *