Pemandu teksi, penumpang bertumbuk [VIDEO]

Sedutan video memaparkan penumpang dan pemandu teksi bergaduh keranan tidak pulang baki mencukupi.

SINGAPURA: Akibat tidak memulangkan baki wang mencukupi, seorang pemandu teksi dan penumpangnya bergaduh dan bertumbuk.

Pihak polis mengesahkan mereka mendapat tahu mengenai kejadian itu pada 14 November lalu yang berlaku di tepi jalan pada jam 8.35 malam waktu tempatan.

Sebuah laman web berita tempatan, Stomp melaporkan pada Isnin lalu bahawa seorang pembaca menghantar video kejadian kepada mereka.

Video itu menunjukkan seorang lelaki memakai baju kolar putih difahamkan pemandu teksi terbabit menumbuk seorang lelaki berkemeja-T putih dipercayai penumpangnya.

Lelaki itu mengelak tumbukan pemandu teksi dan menumbuk balas penyerang yang jatuh tersandar di teksinya.

Seorang lagi lelaki memakai baju kemeja-T berwarna hitam dilihat cuba meleraikan pergaduhan mereka.

Laman web Stomp melaporkan, pergaduhan mereka disebabkan baki wang, lapor portal The New Paper, hari ini.

Penumpang teksi dilaporkan memberi wang kertas S$10 (RM30.50) sebagai membayar caj lebih sedikit daripada S$8 (RM24.40).

Penumpang itu kemudian menerima balik baki lebih S$1 (RM3.05) dan tidak puas hati kerana menganggap sepatutnya menerima S$2 (RM6.10).

Ini menyebabkan pemandu teksi berkata sesuatu kepadanya yang mencetuskan pergaduhan itu, kata Stomp.

Difahamkan penumpang itu mengalami luka di bawah mata kirinya. Bagaimanapun, kecederaan disebabkan pergaduhan seperti itu tidak menyebabkan tangkapan dilakukan.

Tetapi, jika ada pihak yang tidak puas hati, dia boleh kemuka aduan kepada majistret, katanya lagi. – Agensi

235