Mahkamah Pilihan Raya tolak petisyen Parlimen Kimanis

KOTA KINABALU, 19 Nov – Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Datuk Karim Bujang, calon Parti Warisan Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang mencabar kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis.

Dalam penghakimannya, Hakim Supang Lian membenarkan permohonan Anifah, yang difailkan pada 24 Ogos lalu untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Karim itu, atas tujuh alasan mengikut Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya (EPR) 1954 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA)1954 yang Karim gagal patuhi.

Beliau turut memerintahkan Karim membayar kos RM30,000 kepada Anifah dan kos RM5,000  kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang merupakan responden kedua dalam permohonan Anifah.

Anifah diwakili peguam Ansari Abdullah, Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad dan Rizwandean Bukhari M. Borhan manakala peguam Rebecca Thong, Tiong Jia Yi, Song Wei Wan dan Chua Kuan E mewakili Karim.

Kedua-dua RO dan EC diwakili peguam Muammar Julkarnain, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Faizal Sarbi.

Anifah memenangi Parlimen Kimanis dalam PRU-14 dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas Anifah memperoleh 11,942 undi berbanding Karim (Warisan) dan Jaafar Ismail (Harapan) yang masing-masing memperoleh 11,786 undi dan 1,300 undi.

– BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *