Ambil Dadah Sejak Usia 11 Tahun

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kanan) menyoal siasat seorang remaja perempuan, Bella, yang ditahan semasa Op Sarang Khas dijalankan di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun antara 52 individu yang ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu dalam Op Sarang Khas yang dijalankan selama tiga hari bermula pada Khamis.

Remaja terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai, Bella, ditahan ketika berada di salah satu lokasi penagihan dadah atau dipanggil ‘port’ bersama empat individu lain di Kampung Sembulan Lama, di sini.

Menurut Bella sewaktu disoal siasat, dia mendakwa mula mengambil dadah jenis syabu pada usia seawal 11 tahun setelah rakannya menjanjikan sesuatu pengalaman yang tidak akan pernah dilupakannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kanan) menyoal siasat seorang remaja perempuan, Bella, yang ditahan semasa Op Sarang Khas dijalankan di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu.

“Pada waktu itu, saya bersama rakan menaiki bot penambang untuk ke sebuah perkampungan atas air di Pulau Gaya. Setibanya di sebuah rumah, rakan saya menghulurkan sesuatu dan memberikan jaminan kepuasan yang tidak akan pernah saya lupakan.

“Bermula saat itu sehinggalah sekarang saya tidak boleh mengawal ketagihan tersebut dan saya amat kesal dengan diri saya sendiri,” katanya ketika ditahan dalam operasi khas yang dijalankan di Sembulan Lama, di sini, pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji, remaja terbabit tinggal bersama ayah tirinya di Sembulan dan ibu kandungnya menetap di Sinsuran.

Seramai 52 individu didapati positif mengambil dadah jenis syabu sepanjang tiga hari Op Sarang Khas dijalankan sekitar Kota Kinabalu.

“Saya amat terkejut mendapat tahu penglibatan remaja perempuan ini dalam penyalahgunaan dadah seawal usia 11 tahun.

“Operasi sebegini harus diteruskan untuk mengesan dan menangkap pengedar dan penagih dadah bagi mencapai okjektif Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan memastikan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dapat dibendung sepenuhnya,” ketika ditemui di lokasi serbuan.

Dalam pada itu, seramai empat orang pengedar dadah berjaya diberkas bersama peralatan membungkus dadah dan beberapa senjata tajam di lokasi serbuan.

Peralatan membungkus dadah jenis syabu dan senjata tajam ditemukan oleh polis semasa Op Sarang Khas dijalankan sekitar Kampung Sembulan.

Tambah Habibi, sebanyak 12 lokasi serbuan telah dijalankan oleh pihak polis di daerah ini antaranya di Kampung Lembaga Padi, Kampung Bakau, Kampung Suang Parai, Kampung Sembulan, kawasan sekitar SAFMA, dan Bandaran Berjaya.

Op Sarang Khas Ke-9 ini juga telah dibantu oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.

Sepanjang tempoh operasi, seramai 107 orang ditahan polis dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tujuan ujian saringan air kencing.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 52 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Tangkapan memiliki dadah merupakan tangkapan terbanyak iaitu seramai 40 orang lelaki dan akan disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Manakala seramai 13 individu warga asing ditahan dan akan disiasat dibawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *