Empat wanita terlibat aktiviti nombor ekor tanpa lesen ditahan

TAWAU, 19 Nov – Polis menahan empat wanita yang dipercayai terlibat dengan kegiatan perjudian empat nombor ekor tanpa lesen dalam beberapa serbuan di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata dalam serbuan pertama pada 3.30 petang, polis menahan seorang wanita berusia 42 tahun di sebuah premis di Jalan Chester Cole Adam.

“Dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai RM717, tiga keping tiket pembelian perjudian ekor haram (tanpa lesen) serta dua telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam serbuan kedua pada 3.45 petang, beliau berkata polis menahan seorang remaja perempuan berumur 19 tahun di sebuah restoran di Jalan Dunlop, serta merampas wang tunai RM586, sekeping tiket pembelian perjudian ekor termasuk sebuah ‘bluetooth portable printer’.

Sementara pada serbuan seterusnya, Fadil berkata pihaknya menahan seorang wanita warga asing  berusia 35 tahun dan seorang wanita tempatan berumur 24 tahun di sebuah premis di Jalan Chester antara 4 dan 4.10 petang.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua bluetooth portable printer, wang tunai RM759 serta dua keping tiket pembelian perjudian ekor,” katanya.

Fadil berkata kesemua suspek ditahan reman mulai hari ini sehingga 22 Nov di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *