Projek Agropolitan Gana perlu disiapkan segera – Shafie Apdal

KOTA MARUDU, 18 Nov – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu projek Ladang Agropolitan Kampung Gana dekat sini, disiapkan seberapa segera bagi memastikan manfaat projek kerajaan persekutuan itu dapat dinikmati rakyat.

Beliau berkata walaupun projek penanaman getah dimulakan sejak 2013 itu sudah mencapai lebih 80 peratus siap, jika ia tertangguh boleh menimbulkan masalah kepada 450 ketua isi rumah dan anggota keluarga mereka yang merupakan peserta projek berkenaan.

Katanya projek bantuan kepada rakyat terpinggir itu disediakan kerajaan semasa beliau masih menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Kita sediakan peruntukan kalau tidak silap RM60 juta dan diagihkan dalam dua peringkat, satu buat Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan keduanya tanaman getah untuk membolehkan penduduk tempat ini mempunyai masa depan daripada hasil tanaman mereka.

“Bagaimanapun, projek ini terbantut agak lama kerana pemerintah dahulu ada masalah sedikit. Saya ingat (terbantut) tiga tahun. Ketika itu peruntukan disediakan RM60 juta tetapi tidak dapat dilaksanakan. Duit ada tetapi tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek rakyat berimpak tinggi itu yang terletak kita-kira 35 kilometer dari pekan Kota Marudu. Sebelum itu, Mohd Shafie menghadiri program ‘Hari Bersama Ketua Menteri’ di Dewan Komuniti Kota Marudu.

Katanya ketika projek berkenaan terbantut disebabkan masalah dengan kerajaan negeri, ia sememangnya menyusahkan peserta dan keadaan seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat dan bukannya menyusahkan mereka.

Sementara itu, beliau turut menyarankan kepada pihak pelaksana projek berkenaan untuk mewujudkan sumber ekonomi lain dalam kawasan projek tersebut seperti penanaman padi atau tanaman lain yang boleh memberi pendapatan sampingan kepada peserta dan anggota keluarga mereka sementara menunggu getah berkenaan dapat ditoreh dan membuahkan hasil.

Projek Ladang Agropolitan Gana dimulakan pada 2013 melibatkan kawasan seluas 1,491.53 hektar dan 491.53 hektar siap ditanam dengan getah pada 2014.

Projek itu dijangka mula mengeluarkan hasil pada 2020 dan berupaya memberi pendapatan bulanan sebanyak RM2,250 kepada setiap ketua isi rumah yang menjadi peserta projek berkenaan.

– BERNAMA

162