Polis Buru Saki-Baki Suspek Ahli Kumpulan KFR

KOTA KINABALU: Polis masih mengesan saki-baki suspek yang terlibat dengan aktiviti Kidnap for Ransom atau kumpulan menculik untuk wang tebusan, di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata usaha memburu suspek giat dijalankan bagi mematahkan sebarang cubaan dan agenda kumpulan terbabit di negara ini.

“Kita menerima maklumat masih ada beberapa suspek sedang diburu polis ketika ini.

“Bagaimanapun jumlah mereka semua masih belum dikenalpasti dan kita tidak akan dedahkan kerana operasi memburu kesemua suspek masih lagi dijalankan,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berhubung penangkapan seorang lelaki warganegara Filipina yang dipercayai salah seoran pemenggal kepala dari kumpulan militan Abu Sayyaf yang diberkas oleh anggota polis dari Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman di daerah Ranau pada 8 November lalu dan beberapa siri tangkapan suspek di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya meminta orang ramai agar tidak berasa bimbang dengan tangkapan tersebut kerana anggota pengganas berkenaan tidak akan mendedahkan identitinya.

“Saya menyeru kepada orang awam terutama rakyat di negeri ini untuk tidak berasa bimbang kerana mereka yang terlibat dengan kumpulan militan ini sedang menyembunyikan diri daripada dikesan pasukan khas yang kini sedang giat menjalankan operasi untuk memberkas mereka,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Omar turut menafikan kejadian tembakan antara enam penjenayah dengan dua buah bot nelayan semalam belaku di perairan negara.

“Itu bukan kes penculikan, itu kes tembak tetapi bukan berlaku di negara kita, sebaliknya berlaku di perairan negara jiran,” jelasnya.

Terdahulu beliau hadir bagi merasmikan Program Kepolisan Komuniti Bersama Pesuruhjaya Polis Sabah di balai raya Kampung Tanjung Aru Baru.

Hampir 100 orang penduduk kampung di sini menggunakan peluang yang diberikan untuk bersama hadir mendengar ceramah keselamatan dan melihat beberapa pameran yang disediakan.

Sesi soal jawab bersama Pesuruhjaya Polis Sabah juga turut diadakan bagi mendapatkan pencerahan terhadap masalah jenayah setempat selain dari merapatkan lagi hubungan penduduk dengan pihak polis.

Tambah Omar, program seperti ini haruslah diteruskan bagi mendidik dan merapatkan lagi pegawai dan anggota polis bersama komuniti setempat untuk bersama membantu memerangi jenayah seperti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Sumber  – SabahNewsToday

195