Penjara Sabah belanja RM114 juta kos makanan banduan setahun

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman

KOTA KINABALU: Jabatan Penjara membelanjakan kira-kira RM114 juta setahun untuk kos makanan lebih 7,000 banduan yang menjalani hukuman di penjara seluruh Sabah ketika ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata ini disebabkan jumlah banduan yang terlalu ramai hingga melebihi kapasiti dan turut dikhuatiri boleh mengancam keselamatan institusi itu.

“Jabatan Penjara membelanjakan kira-kira RM9.5 juta sebulan untuk kos makanan banduan dengan kos makanan setiap banduan antara RM35 dan RM41 seorang sehari.

“Satu lagi isu ialah penjara di Sabah hanya mampu menampung kira-kira 5,000 banduan tetapi kini populasinya lebih 7,000 banduan yang bermakna lebih kapasiti sebanyak 2,000,” katanya kepada pemberita selepas melawat Penjara Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Katanya, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan di peringkat kementerian dan kerajaan bagi mendapatkan lebih banyak peruntukan.

“Walaupun kerajaan berdepan kekangan perbelanjaan, sepatutnya tiada sebarang kompromi apabila ia membabitkan keselamatan.

“Saya juga dimaklumkan jabatan turut berdepan kekurangan kakitangan selain tidak dilengkapi peralatan persenjataan yang mencukupi,” katanya.

Mohd Azis berkata, bagi menyelesaikan masalah kesesakan penjara, sebuah penjara baharu sedang dibina di Lahad Datu tetapi projek berkenaan mungkin mengalami kelewatan berikutan tahap pelaksanaannya baru mencapai tiga peratus.

Pada masa sama, katanya, kakitangan penjara juga layak menerima insentif antara RM150 hingga RM200 seperti badan beruniform lain sejajar tugas mereka yang perlu berdepan banduan setiap hari.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata pihaknya juga akan mengambil pendekatan perlu untuk menaik taraf kuarters bagi keselesaan kakitangan Jabatan Penjara di negeri ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *