Kejar bola punya pasal

Muhammad Adeeb, empat tahun, kelihatan lesu dan dipenuhi lumpur selepas ditarik keluar dari lubang selebar 25 sentimeter di Sahiwal, Pakistan.

Islamabad:Seorang kanak-kanak kecil terpaksa melalui satu pengalaman menakutkan apabila jatuh terperangkap di dalam lubang sedalam enam meter dengan diameter cuma 25 sentimeter selama empat jam sebelum berjaya diselamatkan.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa, Muhammad Adeeb mengejar bola sebelum jatuh terperosok ke dalam lubang itu di sebuah kawasan pedalaman di Punjab, Pakistan.

Kejadian itu disaksikan sepupunya berusia empat tahun, Usama yang bergegas pulang mendapatkan bantuan.

Penduduk kampung cuba menyelamatkannya namun gagal memandangkan lubang terlalu sempit, menyebabkan mereka menghubungi anggota penyelamat yang mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan mangsa.

Usaha menyelamat dilakukan penuh teliti bagi memastikan Muhammad Adeeb dapat dikeluarkan dengan selamat menggunakan paip plastik dan tali.

Bapanya, Muhammad Noman berkata, kejadian itu amat mencemaskan dan dia tidak dapat menggambarkan perasaan melihat anaknya di dalam lubang itu namun lega selepas berjaya diselamatkan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *