Gagal seludup hasil laut

JURAGAN kapal nelayan yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana disyaki cuba menyeludup keluar hasil laut di perairan Tanjung Kapor, Kudat. – Foto ihsan PPM

Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang juragan kapal nelayan dan merampas pelbagai hasil laut bernilai tinggi, dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui perairan daerah ini, malam tadi.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota PPM Kudat yang menaiki bot tempur RH 50 ketika menjalankan tugasan Op Gelora di perairan Tanjung Kapor di sini, jam 9.30 malam.

Pemangku Komander PPM Wilayah 4, Superintendan Abd Nasir Othman, berkata kapal nelayan terbabit ditahan untuk pemeriksaan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan ke atas kapal itu menemui 38 bekas polisterin berisi timun laut (balat) seberat 570 kilogram (kg), 21 kotak mengandungi 210kg kima, 88 kotak polisterina kima sejuk beku seberat 1,760kg dan satu polisterina berisi 10kg sotong.

“Juragan mengakui barangan terbabit untuk diseludup keluar ke Pulau Balabac di Filipina.

“Berikutan itu, suspek dan barang rampasan yang semuanya dianggarkan bernilai RM142,200 dibawa ke pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya menerusi kenyataan hari ini.- Berita Harian

HASIL laut dipercayai cuba diseludup ke negara jiran yang dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tanjung Kapor, Kudat. – Foto ihsan PPM
HASIL laut dipercayai cuba diseludup ke negara jiran yang dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tanjung Kapor, Kudat. – Foto ihsan PPM
405