Musa tidak hadir pembentangan Belanjawan Sabah

MUSA tidak kelihatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena pembentangan Belanjawan 2019, petang ini.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak kelihatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena pembentangan Belanjawan 2019 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, petang ini.

Speaker DUN, Datuk Syed Abas Syed Ali, ketika memulakan sidang DUN bagaimanapun tidak memaklumkan ketidakhadiran mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagaimana lazim jika ada ADUN memberi notis tidak dapat hadir kerana kekangan tertentu.

Musa pulang ke Sabah Khamis lalu serentak dengan hari pendengaran keputusan kes saman di Mahkamah Tinggi yang difailkannya pada Jun lalu berkaitan kedudukan jawatan Ketua Menteri Sabah.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak saman yang difailkan Musa sekali gus mengesahkan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Pembentangan belanjawan negeri bagi tahun depan yang bermula jam 3 petang tadi adalah yang pertama bagi kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada Mei lalu.

Beberapa pendekatan baharu pembangunan negeri dijangka diumumkan bagi memenuhi janji kerajaan baharu untuk membela nasib rakyat negeri ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *