Liew pertahan jawatan ketua cabang PKR Kota Kinabalu

KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew berjaya mempertahan jawatan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu pada pemilihan kepimpinan baharu parti itu, hari ini.

Liew yang juga Pengerusi PKR negeri memperolehi 541 undi sekali gus menewaskan pencabarnya Julian Lai yang mendapat 106 undi.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pengawas Pusat Pemilihan PKR Cabang Kota Kinabalu Mohd Mohtar Hamzah kira-kira 4 petang tadi.

Proses pemilihan PKR bagi cabang itu yang berakhir 3 petang turut menyaksikan beberapa anggota parti bergegas ke pusat pemilihan di Sekolah Menengah Kian Kok, dekat sini, untuk membuat pengundian menerusi sistem e-undi.

Pusat pemilihan dibuka jam 8 pagi itu mencatatkan hanya seramai 1,125 daripada 6,037 anggota PKR cabang berkenaan keluar mengundi.

Sementara itu Liew ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan, berkata, beliau kehilangan lebih 400 undi pada pemilihan itu disebabkan oleh masalah teknikal menerusi sistem e-undi.

“Bagaimanapun, saya akan membuat rayuan kepada parti di peringkat pusat kerana ia disebabkan oleh masalah teknikal sistem undi,” katanya.

Dalam pada itu, pemilihan PKR di cabang Kota Kinabalu turut menyaksikan Rafizi Ramli yang bertanding jawatan timbalan presiden mengatasi pencabarnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kelebihan 320 undi.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR meraih 440 undi manakala Azmin yang merupakan penyandang jawatan itu memperolehi 120 undi.

Sebanyak 12 cabang PKR di Sabah hari ini menjalankan proses pemilihan parti bermula 8 pagi hingga 3 petang, dan 13 cabang lain akan meneruskan proses pemilihan berkenaan, esok.

PKR Sabah mempunyai kira-kira 150,000 anggota, iaitu yang kedua tertinggi selepas Selangor.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *