Kecoh pemilihan Keningau: Beberapa saksi akan dipanggil

ANTARA petikan dalam rakaman video, Rafizi mendakwa diserang sekumpulan lelaki di Kampung Merampong, Keningau. – Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Polis akan memanggil beberapa saksi bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung kekecohan ketika pemilihan PKR Cabang Keningau semalam yang turut menyaksikan calon timbalan presiden parti itu, Rafizi Ramli membuat laporan polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata dalam laporan polis itu, Rafizi ada menyebut nama individu didakwa memukulnya, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Ada beberapa saksi akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan… Rafizi ada menyebut nama (individu) yang memukulnya, namun tiada saksi melihat. (Jadi) Kita masih menyiasat dakwaan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Rafizi membuat laporan polis mendakwa diserang ketika proses pemilihan Cabang Keningau di sebuah dewan di Kampung Merampong, Keningau.

Ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Rafizi mendakwa kepalanya disentuh oleh seseorang sebelum dibawa keluar dan rakaman video berdurasi 3.02 minit turut tersebar menunjukkan dia dikawal ketat apabila berlaku kekecohan di dalam dewan.

Berikutan kekecohan itu, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menggantung sementara pemilihan bagi cabang Keningau.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim, berkata setakat ini tiada tangkapan dilakukan berhubung kekecohan itu.

Beliau berkata, setakat ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ringan dan Seksyen 509 kanun sama kerana melakukan yang mengaibkan kehormatan seseorang.

“Ini kerana ketika kekecohan itu ada perkataan kesat dikeluarkan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *