Juruterbang JT610 tak sempat sambut Deepavali

Kapten Bahvye Suneja

“DIA sepatutnya pulang ke India bagi meraikan Deepavali. Kebiasaannya dia sudah berada di India beberapa hari menjelang Deepavali, tetapi kami tak sangka dia sudah ‘pergi’.”

Demikian kata jiran juruterbang pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Indonesia di Karawang selepas beberapa minit berlepas dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang, Sumatera pada pagi Isnin.

Menurut laporan BBC, jiran juruterbang Bahvye Suneja, Anil Gupta berkata, Bahvye sangat ramah dan menghormati orang tua, malah Bahvye sering menyapa Anil setiap kali terserempak di kawasan perumahan di New Delhi.

“Kami kenal dia sejak kecil. Dia bersekolah di sini dan sering menegur saya apabila bertemu,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada keluarga Bahvye berkata, keluarganya sangat berduka cita selain meminta orang ramai untuk mendoakan juruterbang berusia 31 tahun itu.

“Keluarga kami sudah menunggu kepulangan Bhavye yang dijadualkan tiba di New Delhi ketika perayaan Deepavali,” katanya menambah keluarga Bahvye akan bertolak ke Indonesia bagi menuntut jenazah Bahvye.

Difahamkan, Bhavye adalah juruterbang berpengalaman dan sudah mengendalikan pesawat selama 6000 jam. Beliau mula berkhidmat dengan Lion Air sejak 2011.

Terdahulu, Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat, Bambang Suryo Aji berkata, mungkin tiada mangsa yang terselamat dalam tragedi terbabit.

“Jangkaan saya tiada siapa yang selamat kerana mangsa yang kami temui, mayat mereka berkecai dan sudah beberapa jam, jadi berkemungkinan besar semua 189 orang dalam pesawat itu meninggal dunia,” katanya.

Sumber : Agensi

184