Lelaki simpan alat mengebom ikan ditahan

ANGGOTA PPM menahan seorang lelaki selepas temui beberapa alat disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan di Kampung Indrason, Kudat. – Ihsan PPM

KUDAT: Tindakan seorang lelaki menyimpan beberapa alat disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan mengundang padah apabila ditahan dalam serbuan di rumahnya di Kampung Indrason, di sini, kelmarin.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Superintendan Abd Nasir Othman, berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan Unit Risikan Marin (URM) PPM Kudat selepas menerima maklumat mengatakan seorang penduduk memiliki dan menyimpan peralatan bom ikan di rumahnya.

“Susulan maklumat itu, pemeriksaan dijalankan pada jam 12.35 tengah hari dan menemui plastik warna coklat di ruang tamu rumah suspek.

“Hasil pemeriksaan, plastik itu berisi satu botol kaca, 100 gram baja ammonia yang disimpan di dalam plastik beras dan bekas plastik yang mengandungi dua unit peledak dan fius,” katanya di sini, hari ini.

ANTARA peralatan mengebom ikan dirampas pihak PPM. – Ihsan PPM

Menurut Abd Nasir, selain itu, pihaknya turut menemui tiga batang sumbu dan tiga kotak mancis kayu dipercayai untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti mengebom ikan.

“Suspek warga tempatan kemudian dibawa ke pangkalan PPM Kudat bersama barang rampasan untuk siasatan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *