ESSCOM gerak aset, sedia tangani kes culik

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menggerakkan semua aset di pos kawalan hadapan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, menerusi kenyataan hari ini turut mengingatkan masyarakat di ESSZONE supaya memaklumkan sebarang maklumat sebaik menyedari ada gerakan meragukan di kawasan perairan itu.

Peringatan itu merujuk kepada laporan portal Marine Link semalam yang menyatakan Pusat Perkongsian Maklumat (ISC) Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP) menerima maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina berkaitan aktiviti penculikan.

Berdasarkan maklumat itu, dianggarkan 10 ahli kumpulan Abu Sayyaf merancang untuk melakukan aktiviti penculikan di beberapa lokasi di Sabah.

Mengulas mengenainya, Hazani berkata, ESSCOM turut menerima maklumat sama daripada rakan pasukan keselamatan di negara jiran.

“Pihak ESSCOM sudah menggerakkan semua aset di lapangan dan pos kawalan hadapan untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan rondaan di kawasan perairan ESSZONE.

“Saya minta masyarakat ESSZONE supaya menyampaikan sebarang maklumat kepada ESSCOM sekiranya kelihatan pergerakan yang meragukan supaya tindakan pantas dapat diambil,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan tahap keselamatan di pantai timur Sabah ketika ini terkawal dan dalam keadaan baik.

Laporan portal itu turut menyebut kumpulan terbabit menyasarkan ahli perniagaan atau kru kapal asing yang melalui kawasan perairan dengan mereka menggunakan bot jongkong berwarna biru dan putih untuk melakukan aktiviti terbabit.

Laporan itu juga menggesa pemilik dan kru kapal lebih berhati-hati ketika berada di perairan timur Sabah dan Sulu, Filipina.

Sumber : Berita Harian

136