Ancaman Keselamatan: ESSCom gerak aset di lapangan dan pos kawalan

LAHAD DATU, 31 Okt – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menggerakkan semua aset di lapangan serta pos kawalan hadapan sebagai langkah siap siaga keselamatan.

Komander ESSCom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata perkara itu selari dengan maklumat diterima pihaknya berhubung rancangan kumpulan Abu Sayyaf untuk menculik di kawasan yang tidak didedahkan di Sabah, pada bila-bila masa.

“Saya minta masyarakat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) menyampaikan sebarang maklumat kepada ESSCom sekiranya melihat pergerakan yang meragukan dengan menghubungi <b>line ESSCom 089-863181</b> supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ESSCom memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di ESSZone adalah terkawal dan baik.

Semalam, sebuah portal dalam talian Marine Link menyiarkan kenyataan dari sumber Pengawal Pantai Filipina (PCG) bertajuk Piracy Warning Off Philippine: ReCAAP ISC telah menerima maklumat daripada Philippine Focal Point (PCG) bahawa satu kumpulan kira-kira 10 anggota Abu Sayyaf bersenjatakan pistol, raifal dan pelancar bom tangan merancang melakukan aktiviti penculikan pada bila-bila masa yang sesuai di kawasan yang tidak didedahkan di Sabah terutamanya menyasarkan ahli perniagaan atau kru kapal asing yang melalui kawasan itu.

Mereka menggunakan motorbanca berwarna biru dan putih, atau tempatan dikenali sebagai jongkong.

Pemilik kapal dan kru diminta tingkatkan aspek kewaspadaan ketika belayar melalui perairan timur Sabah dan Laut Sulawesi.

– BERNAMA

123