PKR tunggu hasil siasatan SPRM

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew

KOTA KINABALU: Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dua ahli parti itu di negeri ini termasuk calon PKR cabang yang direman enam hari bermula semalam.

“Kita tunggu hasil dan keputusan siasatan berkaitan perkara itu.

“Saya tidak mahu membuat sebarang komen dulu…saya menunggu hasil siasatan yang dibuat (SPRM),” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai dua ahli PKR yang direman SPRM selama enam hari, bermula semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pelepasan peserta Cabaran Borneo Safari Antarabangsa 2018 (Borneo Safari) di sini, hari ini.

Semalam, dua ahli PKR, termasuk calon Ketua PKR cabang direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan SPRM dipercayai ada kaitan kes salah laku rasuah.

Perintah tahanan reman ke atas suspek berumur 46 dan 47 tahun itu dikeluarkan Majistret Afiq Agoes berikutan permohonan pegawai pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.

SPRM menahan dua individu itu di Kimanis pada jam 8.40 malam dan 9.15 malam kelmarin, selepas menerima maklumat bahawa kedua-dua mereka didakwa terbabit dalam percubaan untuk memberi rasuah baru-baru ini.

Difahamkan kedua-dua mereka didakwa cuba memberi suapan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR untuk membenarkan calon ketua cabang yang diisytiharkan bankrap, bertanding dalam pemilihan parti.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 (B) (a) Akta SPRM 2009.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *