738 ahli Peladang di Sebatik beli LPG lebih murah

TAWAU, 27 Okt – Program jualan bersasar Liquid Petroleum Gas (LPG) untuk Unit Peladang di Pulau Sebatik dekat sini, membolehkan 738 anggotanya membeli satu tong gas masak 14kg pada harga lebih murah berbanding harga pasaran di kawasan berkenaan ketika ini.

Anggota Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman berkata anggota peladang Sebatik ditawarkan harga di bawah RM40 berbanding harga pasarannya RM42.

“Selain menikmati harga lebih murah, program ini sekali gus dapat membantu penguatkuasa menangani masalah ketirisan barang bersubsidi tersebut dari tanah besar Tawau,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran penjualan bersasar LPG kepada ahli unit Peladang Zon Sebatik di balai raya Kampung Sungai Tongkang di sini, hari ini.

Dalam pada itu Ma’mun menyarankan pengguna membuat laporan berbukti kepada pihak berkuasa sekiranya merasa ditipu berkaitan pembelian LPG yang diisi air.

“Perkara itu ada berlaku dan ada pengguna terkena, beli 14kg LPG tetapi penggunaan tidak sampai seminggu, kita minta pengguna yang ‘terkena’ membuat laporan,” katanya lagi.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *