Sabah bakal naik taraf perkhidmatan kereta api

MOHD Shafie (dua dari kiri) melancarkan Karnival Youngpreneurs Go! di Kota Kinabalu, hari ini. foto facebook Mohd Azis Bin Jamman

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang mengkaji untuk menaik taraf sistem perkhidmatan kereta api termasuk memperluaskannya ke daerah lain di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperluaskan perkhidmatan itu ke daerah utama lain di negeri ini.

“Perkhidmatan kereta api walaupun mahal, ia tidak perlu menjadi sangat canggih kerana sistem kereta api yang ada tidak menghubungkan beberapa bandar utama di negeri ini.

“Kita sedang mengkaji perkara ini dan saya sudah meminta Kementerian Kerja Raya serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk merangka program dan rancangan itu untuk memastikan sistem pengangkutan di Sabah bukan hanya bergantung kepada Lebuhraya Pan Borneo saja,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Karnival Youngpreneurs Go! di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata pada masa ini perkhidmatan kereta api hanya membabitkan laluan dari Kota Kinabalu ke Tenom sahaja.

“Kita tidak ada perkhidmatan kereta api ke daerah lain. Justeru, kerajaan negeri merancang untuk memperluaskan perkhidmatan ini hingga ke Kudat, dan kita tidak memerlukan kereta api yang pantas, apa yang penting dapat memenuhi keperluan rakyat.

“Kami mungkin tidak dapat melakukan sekarang kerana kekangan kewangan, tetapi mungkin dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang ia dapat direalisasikan,” katanya.

Mengenai program itu, Mohd Shafie menggalakkan golongan muda untuk menceburi keusahawanan bagi mewujudkan peluang pekerjaan.

“Perniagaan dan perdagangan adalah komponen penting dan ia mampu mewujudkan peluang pekerjaan selain ekonomi. Orang muda di negeri ini perlu mengambil kesempatan (perniagaan) kerana Sabah kaya dengan sumber,” katanya.

Dianjurkan selama dua hari oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menyaksikan lebih 1,000 pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kolej lain menghadiri karnival berkenaan.

Karnival ini antaranya bertujuan menyediakan peserta seminar mengenai pengetahuan keusahawanan dan memulakan perniagaan.

Sumber : Berita Harian

MOHD Shafie (dua dari kiri) melancarkan Karnival Youngpreneurs Go! di Kota Kinabalu, hari ini. foto facebook Mohd Azis Bin Jamman
241