2 warga asing cuba seludup minyak ditahan

PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan dua lelaki warga asing menyeludup keluar minyak petrol dan diesel di perairan Pulau Kalapuan dan Pulau Bohey Dulang, petang semalam. – Foto ihsan PPM

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan dua lelaki warga asing menyeludup keluar minyak petrol dan diesel di perairan Pulau Kalapuan dan Pulau Bohey Dulang, dekat sini, petang semalam.

Kedua-dua suspek berumur 20 dan 60 tahun yang masing-masing menggunakan sebuah bot jongkong dan bot pam itu ditahan sepasukan Unit Risikan Marin (URM) PPM Semporna menerusi Op Pensura, selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan itu, jam 4 petang.

Pemangku Komander PPM Wilayah 4, Superintendan Abd Nasir Othman, berkata selain petrol dan diesel, pemeriksaan turut menemui tiga tong gas memasak (LPG) disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

“Pemeriksaan mendapati bot jongkong membawa 27 jeriken (594 liter) minyak diesel manakala pam bot membawa lima jeriken bersaiz besar dan empat jeriken bersaiz kecil, masing-masing berisi 150 dan 40 liter petrol.

“Juragan jongkong dan pam bot gagal mengemukakan sebarang dokumen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung pemilikan barangan kawalan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abd Nasir berkata, pihaknya merampas bot jongkong dan bot pam bersama satu unit enjin Yamaha 40 kuasa kuda serta dua unit enjin pam yang digunakan suspek sebelum dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Jumlah kesemua barang rampasan bernilai RM23,050 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *