Mahkamah dengar petang ini hujah lisan kes Musa cabar pelantikan Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 25 Okt – Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar petang ini penghujahan secara lisan mengenai tindakan undang-undang oleh bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri yang baharu pada 12 Mei.

Peguam Datuk Douglas Lind yang mewakili Mohd Shafie berkata kesemua pihak sebelum ini telah memfailkan penghujahan bertulis kepada mahkamah dan hari ini ditetapkan bagi pendengaran penghujahan secara lisan.

Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Yew Jen Kie.

Pada 24 Ogos lepas, Yew menolak permohonan Mohd Shafie untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Musa selepas memutuskan Musa selaku plaintif  telah mengemukakan persoalan mengenai undang-undang yang menyebabkan saman pemula itu tidak sesuai untuk dibatalkan.

Beliau mengarahkan semua pihak memfailkan penghujahan bertulis sebelum beliau membuat keputusan.

Pada 5 Jun lalu, Mohd Shafie mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman Musa atas alasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu tidak mempunyai alasan munasabah untuk mencabar pelantikannya sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei.

Saman pemula tidak memerlukan kes dibicarakan dan peguam dari kedua-dua pihak akan memfailkan penghujahan bertulis dan afidavit untuk mengukuhkan kes mereka manakala bagi writ saman, perbicaraan perlu dijalankan dengan memanggil saksi untuk memberi keterangan.

Pada mulanya, Musa telah memfailkan saman pada 17 Mei, tetapi kemudian membatalkannya dan pada Jun, beliau memfailkan saman pemula memohon pengisytiharan mahkamah, antara lain bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah, yang dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam saman pemula itu, Musa menamakan Juhar selaku defendan pertama manakala penggantinya Mohd Shafie selaku defendan kedua dan menuntut pengisytiharan bahawa pelantikan Mohd Shafie pada 12 Mei adalah tidak sah.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu selepas memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi hilang majoriti apabila beberapa wakil rakyat daripada partinya (UMNO) dan parti komponen Barisan Nasional (UPKO) menyertai Parti Warisan Sabah yang diketuai Mohd Shafie.

— BERNAMA

350