Polis Ketat Kawalan Berikutan Keputusan Kes Musa

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata dua premis itu ialah kawasan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Beliau berkata pihak polis telah menerima maklumat bahawa penyokong daripada kedua-dua pihak akan mengadakan perhimpunan di dua kawasan berkenaan.

“Penyokong daripada kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) diminta supaya tidak mengeluarkan perkataan yang boleh menimbulkan provokasi dan menganggu gugat keselamatan orang awam di kawasan mahkamah.

“Elakkan daripada insiden yang tidak diingini dan pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika mereka(penyokong) tidak mematuhi undang-undang,” katanya kepada pemberita sempena lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, anggota keselamatan juga dikerah untuk membuat tapisan di kawasan yang terlibat bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pada 6 Jun lalu, Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga memfailkan saman baharu terhadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie bagi menggantikan saman yang difailkan pada 17 Mei lepas, memohon pengisytiharan Musa kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah. – BERNAMA

192