Panggil Jimmy sahaja – Pembantu Menteri

TAWAU – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Wong Sze Phin atau Jimmy Wong yang menerima darjah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) dan membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin baru-baru ini, mahu rakyat mengekalkan panggilan Jimmy sahaja terhadapnya.

Katanya, panggilan Jimmy itu senang untuk disebut selain terasa lebih dekat dengan rakyat.

“Yang senang panggil Jimmy atau harimau, itu pangkat (datuk) tidak payah panggil.

“Saya tidak mohon (pangkat), saya hanya mohon untuk diberi peluang membantu rakyat,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau yang juga Penasihat DAP Sabah itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang membuat teguran kepada beberapa pemimpin parti DAP yang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran daripada Melaka serta Sabah baru-baru ini.

Wong merupakan antara 35 penerima PGDK sempena ulang tahun ke-65 Juhar pada 6 Okt lalu.

Wong dalam pada itu berkata, selepas menerima gelaran tersebut, rakyat mula memanggilnya dengan gelaran datuk.

“Dalam parti, kami tidak digalakkan (gelaran datuk) tapi apabila ditawarkan saya tidak tahu sama ada mahu tolak atau tidak.

“Ketika ini kita tunggu keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP (berhubung gelaran datuk) dan kami (saya) pun akan ikut arahan parti, jika gelaran itu perlu dikembalikan,” katanya dengan senyuman.

– BERNAMA

96