Ketua Adat nyaris maut dihanyutkan banjir di Keningau

SUNGAI LIAWAN

KENINGAU  – Seorang Ketua Adat dari Kampung Antolob Bingkor, Atat Suti, 65, nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya hanyut ketika menyeberang Sungai Liawan semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau ketika dihubungi mengesahkan kejadian pada 7.30 malam semalam dan memberitahu, mangsa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis di sebuah hotel di sini mengalami kecederaan di bahagian lutut.

“Anggota kami (Bomba) tiba di lokasi kejadian selepas mendapat maklumat daripada orang awam dan berjaya menyelamatkan mangsa yang terdampar kira-kira 200 meter daripada lokasi dihanyutkan,” kata Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Keningau Mudi Pengiran.

Mangsa yang dirujuk di Unit Kecemasan Hospital Daerah dilaporkan dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang beberapa jam selepas kejadian itu.

Ketika dihubungi Bernama di rumah kediamannya hari ini, Atat memberitahu ketika kejadian, sungai itu dalam keadaan tenang dan beliau mengambil keputusan untuk mengerakkan kenderaannya untuk menyeberang.

“Kedalamannya hanya satu kaki dan tidak ada tanda-tanda banjir, tetapi sebaik sampai di bahagian tengah, gumpalan air besar tiba-tiba menghempap kenderaan.

“Saya tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa dan membiarkan kenderaan dihanyutkan,” katanya.

Atat memberitahu bahawa beliau hanya keluar dari kenderaannya selepas keadaan banjir semakin teruk.

“Saya berusaha keluar dari kenderaan itu dan berenang ke tepi dalam keadaan yang sangat gelap. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu,” tambahnya dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Keningau kerana menyelamatkannya.

– BERNAMA

254