Reman 11 polis berkaitan kes dadah disambung 3 hari

PEGAWAI SPRM membawa sebahagian daripada 11 anggota polis yang ditahan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan meminta dan menerima rasuah

KOTA KINABALU: Perintah tahanan reman 11 anggota polis yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes meminta dan menerima suapan daripada pengedar serta penagih dadah disambung tiga hari lagi hingga Rabu ini.

Semua anggota dan pegawai terbabit sebelum ini direman tujuh hari bermula Selasa lalu selepas ditahan sehari sebelum itu bagi membantu siasatan kes berkenaan yang didakwa dilakukan sejak 2014.

Sambungan reman semua suspek yang bermula esok itu dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin di Lokap Berpusat Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.

Faliq berkata, permohonan menyambung perintah tahanan reman itu bagi membolehkan pihak SPRM meneruskan siasatan kes berkenaan yang dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Masih ada beberapa perkara yang kita perlu siasat berkaitan kes ini, maka kita memohon untuk menyambung tahanan reman semua suspek dan pihak mahkamah membenarkan reman disambung tiga hari lagi hingga Rabu ini,” katanya.

Lapan daripada suspek bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, termasuk seorang yang sudah bersara, selain masing-masing seorang dari IPD Beluran, IPD Kota Kinabalu dan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

Mereka yang terdiri daripada anggota berpangkat koperal, lans koperal, sarjan dan inspektor dipercayai menerima wang rasuah secara tunai atau melalui transaksi bank secara harian, mingguan dan bulanan.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan semua suspek sejak 2014 hingga Jun lalu dengan jumlah keseluruhan suapan dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit.

Difahamkan, suspek menerima suapan daripada orang awam sebagai dorongan untuk melindungi pesalah daripada diambil tindakan atas kesalahan menagih atau memiliki dadah.

Selain 11 anggota terbabit, seorang lagi anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Bahagian Stor IPD Kota Belud turut ditahan SPRM dan direman tujuh hari bermula Jumaat lalu berkaitan kes yang sama.

Sumber : Berita Harian

126