Operasi bersepadu ESSCom tangani PATI akan ditambahbaik

LAHAD DATU – Operasi bersepadu diterajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke daerah Lahad Datu, akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Komander ESSCom  Datuk Hazani Ghazali berkata penambahbaikan itu bagi mengurangkan dominasi PATI di kawasan tertentu termasuk di ladang dan kawasan tumpuan utama seperti bandar serta pasar awam oleh sebab kehadiran PATI antaranya menjadi dalang di sebalik penyeludupan barang terkawal serta terlarang.

“PATI dilihat banyak terlibat dalam aktiviti penyeludupan seperti menjual dan mengedar rokok seludup, petrol dan dadah jenis Syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Hazani berkata 33 PATI daripada 158 orang yang diperiksa di sekitar Tungku dan bandar Lahad Datu ditahan dalam operasi bersepadu pada Jumaat lepas.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 30 warga Filipina serta tiga warga Indonesia yang kesemuanya berumur antara 10 hingga 50 tahun, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sah dan meragukan selain memiliki pasport tetapi tamat tempoh,” katanya.

Hazani berkata operasi bermula pukul 8 malam hingga 5 pagi keesokannya itu menyasarkan kawasan dipercayai tumpuan penempatan haram dan persembunyian PATI termasuk Kampung Membantu, Kampung Manar, Kampung Perpaduan (Bagahak) di daerah kecil Tungku serta sekitar kawasan bandar Lahad Datu.

Hazani berkata  kesemua PATI  dibawa ke Pangkalan Polis Marin (PPM) untuk tapisan keselamatan sebelum dibawa ke pusat tahanan sementara Tawau untuk proses penghantaran ke negara asal masing-masing.

Operasi bersepadu itu disertai 65 anggota penguat kuasa daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Jabatan Kebajikan dan Angkatan Tentera Malaysia.

— BERNAMA

165