PM ketuai Jawatankuasa Kabinet tangani isu MA63

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengembalikan keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, jawatankuasa MA63 akan turut dianggotai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafee Apdal; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Katanya, beliau juga akan menganggotai jawatankuasa itu bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah; Peguam Besar Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid; Peguam Besar Sabah, Zaleha Rose Pandin; Peguam Negara, Tommy Thomas serta Profesor Undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

“Jawatankuasa pemandu akan mengadakan mesyuarat bermula sebulan dari sekarang bagi menentukan hala tuju MA63.

“Kita hanya mempunyai tempoh enam bulan untuk menjalankan tugas bagi mengembalikan pelaksanaan MA63,” katanya pada sidang media selepas Bual Bicara Reformasi Undang-undang di UM di sini, hari ini.

Vui Keong berkata, jawatankuasa itu akan mengkaji keseluruhan MA63 secara inklusif termasuk isu royalti minyak dan pembangunan Sabah dan Sarawak.

Menjawab kritikan bahawa jawatankuasa itu hanya terdiri daripada Menteri Kabinet, beliau berkata perkara itu tidak benar kerana Peguam Besar Sabah dan Sarawak turut dilantik menganggotainya.

“Selepas enam bulan, laporan jawatankuasa itu akan dibentangkan dan buat masa ini kita akan mengadakan mesyuarat bulanan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

MA63 yang ditandatangani di London pada 7 Julai 1963 menjadi detik permulaan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia diperkenankan pemerintah British, Ratu Elizabeth II, disusuli Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail pada 26 Ogos 1963.

Daripada MA63 itulah diwujudkan Akta Malaysia yang kini sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

Menyentuh berhubung pemansuhan hukuman mati, Vui Keong berkata, perkara itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen.

Katanya, rang undang-undang (RUU) memansuhkan hukuman mati akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin depan.

“Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *