Paunovic intai final Piala Malaysia

RODOLJUB Paunovic : GAMBAR FACEBOOK sabah football association

KOTA KINABALU: Penyerang import Sabah, Rodoljub Paunovic sedia bermati-matian bagi membantu pasukan itu mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2003.

Pemain berusia 33 tahun dari Serbia itu berkata, Sabah mungkin bukan pasukan pilihan untuk layak ke final, namun dia percaya mereka mampu mengejutkan Perak selepas menyingkirkan beberapa lawan dari Liga Super sebelum ini.

“Kami hanya selangkah lagi untuk ke final dan kami tidak akan memberi sebarang alasan untuk mencapai ke arah itu, secara peribadi saya akan bekerja lebih keras pada aksi separuh akhir.

“Anda sedia maklum Perak pasukan yang bagus selain terbukti dengan rekod mereka dalam Liga Malaysia. Di atas kertas mereka mungkin pasukan pilihan, tapi kami faham situasi ini dan akan bekerja lebih keras untuk menyukarkan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Paunovic yang menyertai Sang Badak pada pertengahan musim ini turut berharap penyokong pasukan itu membanjiri Stadium Likas pada separuh akhir kedua, 21 Oktober depan.

“Pengalaman beraksi di hadapan lebih 20,000 penyokong pada suku akhir lalu menjadi memori indah buat saya. Saya harap perkara sama berulang.

“Selain itu, saya harap penyokong kami yang berada di Semenanjung akan turun beramai-ramai ke Ipoh untuk memberi sokongan.

“Walaupun suara mereka mungkin ditenggelamkan oleh penyokong tuan rumah, namun kehadiran mereka menjadi suntikan semangat buat kami,” katanya yang menjaringkan gol tunggal penentu kemaraan Sabah ketika menentang Kelantan di Likas.

Sabah akan bertandang ke Stadium Perak di Ipoh, Ahad ini bagi separuh akhir pertama.

Mereka bertemu Perak dalam tiga separuh akhir Piala Malaysia, menang dua kali pada 2002 dan 2003, namun tewas pada 2007.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *