Berani sungguh!

Rakaman CCTV menunjukkan Brielle bersemuka dengan perompak berkenaan, malah menarik beg mengandungi barangan dicuri. – Daily Mail

MANILA: Seorang kanak-kanak perempuan nekad bergelut dengan penjenayah yang merompak bapa dan keluarganya di rumah.

Daily Mail melaporkan, kejadian berlaku ketika Brielle Minia Alba, 8, bermain berhampiran rumahnya di Cavite, Filipina sebelum empat lelaki yang menyamar sebagai penjual DVD datang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan penjenayah yang bertopeng dan bersenjatakan pistol itu merompak bapa Brielle, BJ Alba, 27, ketika dia keluar kereta sebaik pulang dari tempat kerja.

Tiga daripadanya mengacukan pistol kepada keluarga terbabit, manakala seorang lagi mengambil barangan berharga di dalam rumah.

Mereka kemudian melarikan diri dan terserempak dengan Brielle yang dengan berani melompat ke arah lelaki yang memegang pistol.

Kanak-kanak itu terus merampas beg lelaki berkenaan menyebabkannya terkoyak dan wang yang dicuri bertaburan, sebelum berusaha merampasnya semula. Akibatnya, Brielle disepak hingga patah hidung, luka dan lebam.

Kanak-kanak itu bagaimanapun tidak takut, malah berazam mahu menangkap perompak berkenana.

“Saya tidak takut. Mereka pengecut. Kalau mereka datang lagi, pasti saya tangkap.

“Saya begitu marah mereka mencuri wang bapa saya. Wang itu milik keluarga saya. Keluarga saya bekerja keras untuknya,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara Brielle, Bhing yang juga tinggal di rumah itu berkata, mereka sekeluarga terkejut dengan kejadian itu, namun tidak gentar.

“Mereka cuma mengambil wang dan kami tidak diapa-apakan. Ia cuma wang, kami masih boleh bekerja untuk mencarinya.

“Namun mereka akan menerima pembalasan nanti. Saya bangga dengan anak saudara saya, dia begitu berani,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya meneliti rakaman CCTV untuk memastikan sama ada kumpulan sama pernah dilihat di kawasan itu sebelum ini.

Sumber   – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *