Penyelia buruh binaan cedera ditetak di Lahad Datu

Keadaan mangsa selepas ditetak sekumpulan tujuh pekerjanya – Sumber Foto : Facebook BES TAWAUfm

LAHAD DATU, 1 Okt   – Seorang penyelia buruh binaan hampir putus tangan kiri dan cedera di kepala dan belakang badan selepas ditetak sekumpulan tujuh pekerjanya menggunakan pedang samurai dan parang di Felda Sahabat 45, di sini, Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 8 malam di hadapan sebuah rumah kongsi itu dipercayai berlaku akibat rasa tidak puas hati kumpulan lelaki itu yang dibayar gaji rendah untuk membina rumah pekerja ladang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor, dalam kenyataan hari ini. berkata, siasatan awal polis mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa berusia dalam lingkungan 40-an dengan kumpulan pekerjanya pada jam 5 petang pada hari berkenaan.

“Mangsa kini menerima rawatan di hospital di sini,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, dua suspek berusia dalam lingkungan 40-an yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sumber – BERNAMA

82