GLC Sabah alami kerugian akan ditutup – Mohd Shafie

GAMBAR BERNAMA

 

KOTA KINABALU, 1 Okt – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Sabah yang mengalami kerugian dan tidak mencatatkan sebarang keuntungan akan ditutup, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selama ini, katanya, beliau telah mendapat taklimat mengenai beberapa entiti yang merekodkan kerugian dan tidak menjana hasil bagi kerajaan negeri.

“Berdasarkan lembaran imbangan, syarikat ini mengalami kerugian bukan hanya setahun atau dua tahun tetapi lebih dari tempoh itu, jadi saya berpendapat tidak wajar lagi kerajaan negeri kekalkan semua entiti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus lembaga pengarah badan berkanun dan agensi kerajaan negeri di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ketua menteri tidak memaklumkan nama GLC yang akan ditutup terbabit memandangkan kerajaan negeri akan membuat pengumuman berkaitan itu dalam tempoh terdekat.

Ketika ditanya mengenai penstrukturan semula beberapa GLC negeri seperti Yayasan Sabah, Mohd Shafie berkata lebih banyak GLC akan menghadapi penstrukturan semula pengurusan.

“Saya berpandangan kita perlu menggabungkan beberapa syarikat ini untuk mewujudkan syarikat yang lebih besar,” katanya.

Sumber – BERNAMA

73