Satu kubur 500 jasad

JENTERA berat digunakan untuk menimbus tanah satu daripada tiga kubur besar. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Tiga kubur besar disediakan untuk mengebumikan korban gempa bumi dan tsunami Palu. Sehingga petang semalam satu daripada kubur itu sudah ditimbus selepas diisi lebih 500 mayat.

Tindakan itu diambil sukarelawan dan pihak berkuasa bagi mengelak jangkitan penyakit kerana banyak mayat mangsa yang sudah mula membusuk.

Angka rasmi jumlah korban sehingga kini ialah 844 orang dan jumlah itu dijangka meningkat beberapa hari lagi selepas operasi mencari dapat dijalankan dengan lebih ramai sukarelawan dan pihak berkuasa.

Dianggarkan lebih 40,000 orang kehilangan tempat tinggal dan mereka yang cedera juga turut meningkat.

Kerja menggali lubang kubur yang setiap satu berukuran 100 meter panjang dengan kedalaman tiga meter dan lebar 30 meter dilakukan sukarelawan menggunakan jentera sebelum diambil alih oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Wartawan AFP yang berada di lokasi mendapati, mayat yang dibungkus dengan beg mayat berwarna oren, kuning dan hitam itu dibawa satu persatu ke lubang berkenaan sebelum ditimbus tanah menggunakan jentolak.

Pihak berkuasa terpaksa mengebumikan mayat dalam satu lubang berikutan bimbang wabak penyakit selain kebanyakan mayat sudah berbau dan berulat.

Komander tentera tempatan Tiopan Aritonang berkata, 545 mayat dibawa ke kubur menaiki tiga trak tentera dibawa dari sebuah hospital saja.

“Ini perlu dilakukan secepat mungkin atas sebab kesihatan dan keagamaan,” katanya.

Seorang lagi pegawai tentera, Mohammad Thorir berkata, semua mayat yang sudah dikenal pasti identiti akan diambil gambar dan direkodkan bagi memudahkan waris mencari lokasi ahli keluarga mereka dikebumikan.

Satu rakaman video menunjukkan penduduk berjalan dan membuka dari satu beg ke satu beg mayat untuk mencari sama ada ahli keluarga mereka antara yang meninggal dunia dalam bencana berkenaan.

Tidak lama kemudian, sekumpulan pekerja yang lengkap memakai topeng mengusung beberapa mayat sebelum diletakkan di dalam kubur besar berkenaan.

Mengikut wartawan Detik.com, Taufik Abdul Rahman yang berada di lokasi cap jari, lokasi mayat ditemui dan jantina akan direkodkan sebelum dikebumikan.

“Setakat ini, tiga kubur besar sudah digali yang boleh memuatkan 1,000 mayat dengan satu kubur sudah penuh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Memetik laporan BBC, keadaan menyayat hati dapat dilihat di pusat kesihatan Mamboro di Palu apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun patah kaki diletakkan seorang diri sebaris dengan mayat mangsa di dalam beg.

Pemilik klinik berkenaan, Dr Sasono berkata, kliniknya sudah terputus bekalan elektrik dan kehabisan bekalan ubat.

“Kami tidak tahu di mana ahli keluarga kanak-kanak ini malah dia tidak ingat lokasi rumahnya juga,” katanya kepada agensi berita antarabangsa itu.

Hanya beberapa meter dari kanak-kanak itu, barisan mayat yang sudah berbau busuk dapat dilihat dan Dr Sasoni berkata mayat itu akan dikebumikan di dalam kubur besar bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.

“Mayat sudah berbau dan kami tidak menunggu ahli keluarga menuntut mayat kerana sudah terlambat untuk berbuat demikian,” katanya.

Sumber : Harian Metro

222