Pemuda mengaku salah rogol gadis bawah umur

SEORANG pemuda berusia 19 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu, hari ini, atas dakwaan merogol gadis berusia 15 tahun, Februari tahun ini. – Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Seorang pemuda berusia 19 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dakwaan merogol gadis berusia 15 tahun, Februari tahun ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Februari antara jam 2 hingga 5 petang di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Tuaran.

Dia didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim berkata, memandangkan tertuduh mengaku bersalah, tiada perbicaraan dijalankan dan hanya permohonan untuk hukuman dibenarkan.

“Saya juga akan membenarkan laporan sosial dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai latar belakang keluarga tertuduh,” katanya di mana laporan itu akan dipertimbangkan oleh hakim sebelum hukuman dijatuhkan.

Beliau menetapkan jam 18 Oktober ini untuk laporan sosial yang akan dijalankan dan tertuduh akan terus ditahan mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Dinesh Raja sebelum ini meminta agar tidak ada ikat jamin diberikan kepada tertuduh.

Sementara itu di Mahkamah Majistret di sini, Majistret Afiq Agoes menjatuhkan hukuman penjara dua bulan kepada Mohd Shirshah Mohd Ali kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Shereen Willie pada 22 September tahun ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Lido Four Seasons Residences, pada jam 1 pagi.

Dia yang diwakili peguam Shareen Tang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Albert Basirin didakwa.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *