Lebih 1.4 juta pelancong ke Sabah bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini

GAMBAR BERNAMA

LAHAD DATU, 30 Sept –  Jumlah kemasukan pelancong ke negeri ini berjumlah 1.4 juta orang dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus jika dibandingkan pada tempoh sama tahun lalu.

“Oleh itu, kerajaan negeri berharap prestasi ini dapat dikekalkan dan ditambah baik dari segi jumlah ketibaan seterusnya meningkatkan jumlah pendapatan rakyat negeri ini,” katanya pada malam Gala Festival Sayangi Lahad Datu@Silam di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Assaffal P. Alian, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Norazlinah Arif dan Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Dumi Pg. Masdal.

Mohd Shafie berkata Sabah merupakan antara lima negeri utama menjadi tumpuan pelawat domestik di negara ini selain pelancong asing.

Beliau berkata Sabah juga merupakan antara empat negeri terbaik yang kerap dilawati oleh pelancong asing dalam negara pada tahun lepas seterusnya menjadikannya sebagai negeri nombor satu kerap dilawati di perairan Malaysia Timur.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha dan mencari inisiatif untuk mengetengahkan tempat-tempat yang menarik dan mempelbagaikan produk pelancongan, kerana ia dapat mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata statistik turut menunjukkan sebanyak 27,325 bilik penginapan tersedia di negeri ini dengan 637 hotel pelbagai kelas atau bintang dengan ribuan penduduk Sabah telah memperolehi pekerjaan dalam sektor pelancongan.

“Justeru, diharap agar pemaju industri pelancongan hotel menaik taraf dan menambah lebih banyak bilik dan jumlah hotel untuk menampung permintaan tinggi dari pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Mengulas penganjuran festival, Mohd Shafie berkata ia relevan selain memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati keunikan seni dan budaya yang secara tidak langsung turut membuka peluang penjanaan ekonomi.

Katanya festival itu juga menjadi landasan terbaik untuk memperkenalkan Lahad Datu sebagai salah satu lokasi pelancongan yang wajib dikunjungi apabila datang ke negeri ini.

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *