14 PATI ditahan

Antara PATI yang ditahan dalam serbuan di tiga lokasi di daerah Kota Belud. FOTO/NSTP/Recqueal Raimi

 

SERAMAI 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Kota Belud, Sabah, awal pagi hari ini.

Dalam serbuan bermula jam 12 tengah malam hingga 4.30 pagi di rumah kongsi SAFODA di Kampung Sarang Dudar, Kampung Kawang-Kawang dan tapak pembinaan di Kampung Bangkahak itu, seramai 24 PATI diperiksa.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati 14 daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

“Bagaimanapun, sembilan daripada mereka dibebaskan kerana mempunyai dokumen yang sah,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

Katanya, operasi itu adalah antara usaha pihaknya membendung kegiatan jenayah di daerah ini, selain mencegah PATI yang bekerja secara haram.

Sumber : Harian Metro Online

186