Bayaran Interim RM1.5 Bilion Bukti Kerajaan Sedang Mengembalikan Hak Sabah Secara Berperingkat

Datuk John Ambrose

Pengumuman Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion setahun bermula tahun 2026 merupakan satu perkembangan yang amat signifikan dalam sejarah hubungan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan. 

Keputusan ini bukan sahaja membawa implikasi kewangan yang besar kepada negeri Sabah, malah mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk mencari penyelesaian yang adil terhadap tuntutan hak Sabah yang telah lama diperjuangkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sejak tahun 1974 sehingga 2021, Sabah hanya menerima Geran Khas sebanyak RM26.7 juta setahun. Jumlah tersebut kekal hampir tidak berubah selama hampir lima dekad walaupun berlaku peningkatan kos pembangunan, pertumbuhan ekonomi negara dan pertambahan keperluan rakyat Sabah. 

Bermula pada tahun 2022, Kerajaan Persekutuan mula meningkatkan bayaran tersebut kepada RM125.6 juta setahun, diikuti RM300 juta pada tahun 2023 dan 2024, RM600 juta pada tahun 2025 dan kini RM1.5 bilion pada tahun 2026. 

Peningkatan yang konsisten ini menunjukkan bahawa isu hak kewangan Sabah bukan lagi sekadar perbincangan politik, tetapi sedang diterjemahkan kepada tindakan yang nyata.

Sebagai rakyat Sabah, kita harus melihat perkembangan ini secara objektif dan konstruktif. Memang benar bahawa RM1.5 bilion bukanlah jumlah yang mewakili tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari Sabah. Kerajaan sendiri telah menjelaskan bahawa bayaran tersebut adalah bersifat interim sementara menunggu formula muktamad mengenai tuntutan tersebut dimuktamadkan melalui rundingan antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, adalah tidak tepat untuk menganggap RM1.5 bilion sebagai pengganti kepada hak 40 peratus hasil Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, apa yang tidak boleh dinafikan ialah hakikat bahawa terdapat kemajuan yang nyata. Jika dibandingkan dengan keadaan sebelum tahun 2022, Sabah kini menerima jumlah yang jauh lebih besar berbanding sebelum ini. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf keperluan untuk memperkukuhkan kedudukan fiskal Sabah dan pada masa yang sama menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan isu tuntutan hasil negeri secara berperingkat.

Peningkatan bayaran interim ini memberikan peluang kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mempercepatkan pelbagai agenda pembangunan yang telah lama dinantikan rakyat. Sabah masih berhadapan dengan cabaran pembangunan yang unik berikutan keluasan geografinya, kedudukan penempatan penduduk yang berselerak, serta kos penyampaian perkhidmatan yang lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain. Justeru, tambahan RM1.5 bilion setahun boleh digunakan untuk memperkukuhkan pembangunan jalan raya, jambatan, bekalan air bersih, bekalan elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan, infrastruktur digital dan pelbagai kemudahan asas lain yang menjadi keperluan rakyat.

Dalam masa yang sama, kita juga harus memberikan pengiktirafan kepada usaha Kerajaan Negeri Sabah yang terus berunding secara berterusan dengan Kerajaan Persekutuan. Pendekatan diplomasi, perundingan dan kerjasama yang diamalkan hari ini telah membuka ruang kepada pelbagai kemajuan yang sebelum ini sukar dicapai. Hubungan kerja yang baik antara kedua-dua kerajaan membolehkan isu-isu yang kompleks diselesaikan secara lebih profesional dan berkesan.

Walau bagaimanapun, peningkatan jumlah peruntukan sahaja tidak mencukupi sekiranya sistem penyampaian pembangunan tidak diperkasakan. Antara rungutan utama rakyat Sabah sejak sekian lama ialah kelewatan pelaksanaan projek pembangunan yang telah diluluskan. Tidak dinafikan bahawa terdapat projek-projek yang mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan, malah ada yang mengalami peningkatan kos dan kelewatan yang ketara sebelum dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

Oleh sebab itu, terdapat keperluan mendesak untuk memperbaiki sistem penyampaian dalam pengoperasian jentera pembangunan di Sabah. Setiap projek yang diluluskan perlu dilaksanakan secara lebih cekap, berintegriti dan berorientasikan hasil. Rakyat tidak hanya mahu mendengar pengumuman peruntukan, tetapi mahu melihat hasil yang nyata dalam bentuk jalan raya yang lebih baik, bekalan air yang lebih stabil, kemudahan kesihatan yang mencukupi, sekolah yang berkualiti serta peluang ekonomi yang lebih luas.

Keberkesanan sistem penyampaian harus menjadi agenda utama dalam era pembangunan baharu Sabah. Agensi pelaksana di peringkat Persekutuan dan Negeri perlu memastikan bahawa tiada lagi kelewatan yang tidak munasabah dalam pelaksanaan projek pembangunan. Sebaliknya, setiap projek perlu dipantau secara berkala dengan menggunakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas serta laporan kemajuan yang telus kepada rakyat.

Selain itu, mekanisme pemantauan projek perlu diperkasakan. Semua projek pembangunan infrastruktur yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan perlu dipantau secara profesional bermula daripada proses perancangan, pelaksanaan, sehingga ke peringkat penyerahan projek. Setiap kontraktor dan pihak yang terlibat hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mutu kerja dan tempoh pelaksanaan yang telah dipersetujui.

Dalam aspek tadbir urus, sudah tiba masanya budaya akauntabiliti diperkukuhkan dengan lebih tegas. Sekiranya terdapat kelemahan pengurusan, pelanggaran kontrak, ketidakpatuhan spesifikasi atau kelewatan yang tidak dapat dijustifikasikan, tindakan undang-undang yang sewajarnya perlu dilaksanakan tanpa mengira kedudukan pihak yang terlibat. Pendekatan ini penting bagi memastikan wang rakyat digunakan secara optimum dan setiap projek yang diluluskan benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat.

Lebih penting lagi, rakyat Sabah mahukan ketelusan dalam penggunaan dana yang diterima. Mereka mahu mengetahui projek apa yang dibiayai, kawasan mana yang menerima manfaat, berapa kos yang digunakan dan apakah impak sebenar kepada pembangunan negeri. Ketelusan seperti ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan pada masa yang sama memperkukuhkan integriti dalam pengurusan kewangan awam.

Dalam konteks yang lebih besar, isu 40 peratus hasil Sabah bukan sekadar soal kewangan semata-mata. Ia berkait rapat dengan prinsip keadilan, pengiktirafan hak negeri dan pembangunan yang seimbang dalam Persekutuan Malaysia. Oleh itu, usaha yang sedang dilaksanakan hari ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses yang lebih besar untuk memperkukuhkan hubungan antara Sabah dan Persekutuan berdasarkan semangat MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, rakyat Sabah tidak menolak RM1.5 bilion. 

Sebaliknya, mereka mengalu-alukan peningkatan tersebut kerana ia mampu membantu mempercepatkan pembangunan negeri. Apa yang mereka harapkan ialah agar bayaran interim ini tidak dianggap sebagai penyelesaian muktamad kepada isu 40 peratus hasil Sabah. Rakyat mahu melihat rundingan diteruskan sehingga formula yang adil dan mampan dapat dipersetujui oleh semua pihak.

Pada masa yang sama, rakyat juga mahu melihat hasil pembangunan yang boleh dirasai secara langsung. Mereka mahu melihat jalan raya yang lebih baik, bekalan air yang lebih stabil, peluang pekerjaan yang lebih banyak, kemudahan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti serta peningkatan taraf hidup yang berterusan. Inilah ukuran sebenar kejayaan sesuatu dasar pembangunan.

Kesimpulannya, peningkatan Bayaran Khas Interim kepada RM1.5 bilion setahun merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan panjang memperjuangkan hak Sabah. Walaupun ia bukan penyelesaian muktamad kepada tuntutan 40 peratus hasil Sabah, langkah ini menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang bergerak ke arah yang betul. Apa yang diperlukan sekarang ialah kesinambungan rundingan, sistem penyampaian yang lebih cekap, pemantauan yang lebih berkesan, ketelusan dalam pengurusan dana serta komitmen semua pihak untuk memastikan pembangunan yang dijanjikan benar-benar sampai kepada rakyat.

RM1.5 bilion bukanlah penamat perjuangan. Sebaliknya, ia adalah satu petunjuk bahawa usaha mengembalikan hak Sabah sedang berlangsung secara berperingkat, teratur dan berlandaskan Perlembagaan. Dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan, rakyat Sabah boleh terus berharap bahawa penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap tuntutan 40 peratus hasil negeri akan dapat dicapai pada masa hadapan demi kemakmuran dan kesejahteraan generasi akan datang.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *